THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Ahad, 12 Julai 2009

KISAH DAJJAL LAKNATULLAH

Dari Fatimah binti Qais mengatakan: "Saya telah mendengar muazzin memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW. Selesai solat, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda SAW tertawa dan berkata: "Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sejadahnya." Kemudian berkata: "Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?" Kami menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih tahu."

Rasulullah SAW berkata lagi: "Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.

Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.

Mereka bertanya kepada binatang itu: "Makhluk apa engkau ini?" Binatang itu menjawab: "Saya adalah Al-Jassasah." Mereka tanya: "Apa itu Al-Jassasah?" Binatang itu hanya menjawab: "Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: "Siapakah anda?" Orang seperti raksaksa itu menjawab: "Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: "Siapa kamu ini?"

Mereka menjawab: "Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.

"Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: "Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu."

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya." Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: "Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu," nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: "Keadaan apanya yang tuan maksudkan?" Orang besar itu menjawab: "Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?" Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: "Aku takut pokok itu tidak berbuah."

Orang besar itu bertanya lagi: "Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabariah." Mereka menjawab: "Tentang apanya yang tuan maksudkan?" Lelaki itu menjawab: "Maksudku airnya apakah masih ada." Mereka menjawab: "Airnya tidak susut." Lelaki itu berkata: "Air sungai itu disangsikan akan kering."

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: "Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?" Mereka menjawab: "Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah." Lelaki itu bertanya lagi: "Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?" Mereka menjawab: "Ya, mereka memeranginya." Lelaki itu bertanya lagi: "Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?" Mereka ceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.

Orang besar itu berkata lagi: "Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya." Kata orang besar itu lagi: "Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya."

Katanya lagi, "Rasulullah SAW menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: "Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?" Mereka menjawab: "Ya, sudah ya Rasulullah." Rasulullah SAW berkata lagi: "Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur," kata Rasulullah SAW sambil menunjuk ke arah timur.

Rasulullah SAW telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Isfahan.


TANDA-TANDA KEMUNCULAN DAJJAL

Ujian Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal adalah sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada ummat manusia yang beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda: "Sejak Allah SWT menciptakan nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti tidak ada satu ujianpun yang lebih dahsyat daripada Dajjal."

Sebelum kemunculan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau panjang selama tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan kurang sabanyak 1/3 daripada biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3 daripada biasa dan pada tahun ketiga hujan terus tidak turun. Umat ketika itu akan dilanda kebuluran dan kemarau. Di saat itulah Dajjal akan muncul membawa ujian. Dalam satu riwayat, penyokong Dajjal akan memiliki bergunung roti (makanan) sedangkan orang-orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini, sahabat RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam pada hari itu wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab: "Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir itu menggantikan makanan."

Dalam satu hadis riwayat Nuaim bin Hammad: "... Lalu Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal syaitan-syaitan yang ada di timur dan ada di barat dan merekapun datang berbondong ke hadapan Dajjal dan menunjukkan kesediaan mereka untuk mengikuti apa jua perintahnya. Mereka berkata kepada Dajjal: "Gunakanlah kami untuk apa sahaja tujuanmu". Dajjal menyahut "Ya! aku akan berbuat demikian. Maka pergikanlah kamu pada kesekelian manusia dan usahakanlah supaya mereka meyakini bahawa aku adalah tuhan mereka. Khabarkah kepada mereka bahawa aku telah membawa untuk mereka syurgaku dan nerakaku."

Kemudian syaitan-syaitan itupun bertebaranlah di mukabumi dan masuk ke rumah-rumah orang dengan bilangan yang sangat banyak, lebih dari seratus syaitan untuk sebuah rumah. Syaitan-syaitan itupun menjelma dalam bentuk ayah tuan rumah itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya, hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya. Mereka berkata kepada tuan rumah itu: "Wahai fulan, apakah kamu mengenali kami?" Tuan rumah itu menjawab: "Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini ibuku, ini saudara perempuanku, ini saudara lelakiku."

Tuan rumah itu berkata lagi: "Apa khabar kamu semua?" Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Bahkan apa khabar engkau. Cuba ceritakan kepada kami keadaan engkau."

Tuan rumah itu pun berkata: "Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat kerosakan)." Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Janganlah engkau terburu-buru berkata demikian. Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah".

Ketika itu tuan rumah tadi berkata: "Kamu semuanya pembohong. Kamu adalah syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya Rasulullah SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan baginda SAW telah menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah menyuruh kami supaya menjaga anak-anak kami. Maka tiada kata aluan untuk kamu semua. Kamu adalah syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah SWT. Dan sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan nabi Isa bin Maryam untuk membunuhnya."

Kalau tuan rumah itu berkata demikian akan surut dan diam lalu mereka (syaitan-syaitan) segera pulang dengan hampa tangan dan kehinaan."

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: "Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. "

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu beererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Kata Rasulullah SAW lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi."

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi."

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. "

Dari Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada 40 hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa." Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah SAW menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinKu. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini. Seperti yang di ajar baginda SAW dalam doa tahiyyat akhir yang sunnat doa itu kita baca setiap kali kita sembahyang. Doa itu adalah: "Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahannam dan dari siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati, juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal."

Hadis riwayat Muslim Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang HAFAL 10 ayat dari pertama surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan Dajjal." (Dalam riwayat lain HAFAL 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi)

Wallahu'alam.

0 comments: