THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Rabu, 19 Ogos 2009

Zikrullah Amat Mudah, Berat Dibuat


Air mata termahal daripada dunia disebabkan cemas, takut atas keagungan-Nya

AIR mata yang menitis pada pagi hari raya mudah-mudahan menjadi tanda kesyukuran kepada Allah.

Namun pada kebiasaannya, kita menangis kerana sedih teringat diri merantau jauh daripada keluarga atau ingat kepada orang dikasihi yang sudah kembali ke rahmatullah.


Tidak mengapa, itu adalah fitrah manusia. Bagaimanapun juga, air mata yang termahal nilainya daripada dunia dan segala isinya adalah air mata yang jatuh demi mengingati Allah sama ada kerana tunduk dan syukur kepada-Nya atau disebabkan cemas dan takut atas keagungan-Nya.

Selepas berjuang pada Ramadan dengan amal ibadat puasa, tarawih, tahajud, tilawatul Quran dan sedekah jariah, kiranya sudah sampailah kita kepada kedudukan iman yang tinggi berkat amalan itu.

Persoalannya, bolehkah iman itu tetap tinggi seiring berjalannya waktu? Bukankah Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar yang bermaksud: Amalan yang dicintai Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit.

Agaknya tiada alasan untuk kita meninggalkan ibadat yang biasa dilakukan ketika Ramadan kerana kesibukan pada hari mendatang. Bukankah sedikit itu lebih baik daripada tiada sama sekali?

Jika mahu mencari alasan, tentu ramai yang petah lidahnya mencari-cari alasan tidak dapat melakukan ibadat. Tetapi dalam Islam, ibadat itu sungguh mudah dan tak mungkin seseorang itu boleh mencari alasan mengapa dia tak mahu melakukannya?

Suatu hari Abdullah bin Bushr yang sudah tua datang kepada Baginda SAW mengadukan kesusahannya melakukan ibadat kerana lemah tubuh badannya. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam amat banyak dan aku berasa sukar untuk melakukan semuanya. Maka tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang dapat aku amalkan secara berterusan."

Rasulullah SAW yang berhati lembut memandang dengan rasa kasihan kepada orang tua itu, Baginda tidak memarahinya atau mencelanya sebagai pemalas atau lemah iman. Bahkan Rasulullah SAW menghibur lelaki tua itu dengan sabdanya yang bermaksud: "Basahilah lidahmu selalu dengan menyebut nama Allah." (Riwayat al-Nasaie)

Jika hati dan lisan sentiasa ingatkan Allah, tentu rasa cinta akan lahir seterusnya menjadi perangsang untuk melakukan ibadat lain. Dengan menyebut kebesaran Allah, kita tidak akan mampu melakukan kejahatan selama nama-Nya bersemayam di hati kita.

Sesungguhnya zikrullah menjadi kekuatan seorang hamba supaya tetap istiqamah di atas jalan ibadat. Walaupun di negara kita pada kebiasaannya sebulan kita berhari raya, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.

Kita sedar kelemahan diri yang sentiasa terbelenggu oleh tipu helah kesenangan duniawi tetapi bukan bermakna kita menyerah kalah. Jika terlalai, maka cepat-cepatlah beringat, jika tersesat mulakan langkah baru.

Bukankah pintu syurga itu ada lapan pintu kesemuanya? Takkan sebuah pintu pun tidak dapat dibuka pada hari ini? Kita tidak akan mampu melakukan semua kebaikan sekali gus setiap hari. Hanya orang yang sedarjat dengan Abu Bakar al-Siddiq saja yang boleh melakukannya.

Sebagaimana sabda Baginda SAW yang maksudnya: "Syurga mempunyai lapan pintu. Orang yang mendirikan sembahyang akan dipanggil daripada pintu sembahyang. Yang berpuasa akan dipanggil dari pintu puasa, yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad dan yang bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah." Abu Bakar bertanya: "Adakah wujud orang yang dipanggil daripada semua pintu itu? Baginda SAW bersabda: "Ya, aku harap engkau termasuk golongan berkenaan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Insan mana yang tidak pernah tenggelam dan karam oleh hawa nafsunya. Keinginan beribadah dan memuaskan hawa nafsu sentiasa berperang dalam diri manusia, hanya Allah yang mampu menyelamatkan kita daripada kesesatan.

Doa setiap hujung sembahyang yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal eloklah diamalkan: "Ya Allah tolonglah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku."

Siapakah yang menggerakkan hati ini untuk bersegera ke masjid ketika azan dilaungkan? Siapakah yang membangunkan kita pada tengah malam dan menggembirakan hati kita bermunajat kepada-Nya? Siapakah yang menitiskan rasa kasih kepada al-Quran dan rindu memperhatikan ayat-Nya yang agung? Siapakah yang menghiris perasaan kita melihat kesusahan orang lain sehingga tangan ini menghulurkan pertolongan?

Siapakah yang menitiskan air mata kita pada hari raya kerana bersyukur dan berjaya membuktikan selama sebulan di medan perjuangan bahawa kita mencintai-Nya? Dialah Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia Yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar, memerhatikan setiap gerak geri dan lintasan di hati kita.

Sesungguhnya pintu syurga sentiasa terbuka untuk kita, bukan hanya pada Ramadan. Ia akan sentiasa terbuka untuk orang yang beribadah. Tidak mahukah kita mengikuti jejak Muaz bin Jabal yang sangat obses kepada syurga Allah?

Suatu hari beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang dapat mendekatkan aku kepada syurga dan menjauhkan aku daripada neraka. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Muaz, engkau sudah meminta sesuatu yang terlalu istimewa tetapi ia mudah dilakukan oleh orang yang diberi kemudahan oleh Allah. Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukannya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah. Kemudian Rasulullah SAW menyambung sabdanya: Mahukah engkau, aku tunjukkan pokok, batang dan ranting ibadat? Aku menjawab: "Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Pokok ibadat adalah Islam, tiangnya sembahyang sedang rantingnya adalah jihad di jalan Allah."

Lalu Baginda SAW bersabda lagi: "Mahukah engkau, aku tunjukkan pintu kebaikan? Jawab Muaz: Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Puasa, sedekah dan sembahyang malam. Puasa adalah perisai, sedekah adalah penghapus dosa sebagaimana air memadamkan api, (dan bagi sembahyang malam) Baginda membaca ayat yang bermaksud: Mereka merenggangkan lambung mereka daripada tempat tidur seraya berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut dan harap dan mereka mendermakan sebahagian yang Kami anugerahkan."

Akhir sekali Baginda SAW bersabda kepada Muaz: "Mahukah engkau aku tunjukkan satu amalan kepadamu yang dapat meliputi semua itu? Jawab Muaz; Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jagalah lidahmu kerana sesungguhnya tiadalah manusia dicampakkan ke dalam neraka melainkan kerana kejahatan lidah mereka." (Hadis sahih riwayat al-Tirmizi)

Hanya Allah saja yang mampu menolong dan menyelamatkan kita daripada kealpaan diri sendiri. Hanya Allah yang menunjukkan jalan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki. Adakah kita termasuk di dalamnya?

Adakah Solat Kita Di Terima....


10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T
Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Bersihkan Hati Dari Akhlak-akhlak Yang Tercela


MARILAH kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wataala dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba- Nya yang salih dan dikasihi.

Kebersihan amatlah dituntut dalam Islam. Kebersihan itu juga bukan sahaja berbentuk zahir bahkan meliputi kebersihan batin. Kebersihan batin itu ialah membersihkan jiwa dari kesan-kesan dosa dan perbuatan-perbuatan yang tercela iaitu dengan cara bertaubat dan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang tercela seperti hasad dengki, tipu daya, berperasaan dendam, takbur, riya', ujub, syirik dan seumpamanya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim yang maksudanya:

"Kesucian hati daripada sifat keji itu adalah setengah daripada iman."
Untuk membersihkan hati, kita perlu menjauhi segala penyakit-penyakit hati. Berdasarkan hadis itu tadi Al-Imam Al-Ghazali berkata : "Bahawa iman yang sempurna itu adalah menyucikan hati daripada sifat-sifat keji dan menanamkan dalam hati segala sifat-sifat yang terpuji."

Di antara penyakit-penyakit hati yang keji itu ialah perasaan hasad dengki, sifat riya', ujub, takbur, terlalu banyak bercakap, terlalu banyak makan, pemarah, bakhil dan kasihkan dunia.

Perlu kita ingat, musuh dalam diri manusia bukan hanya terdiri daripada kuman-kuman yang menyebabkan diri kita dijangkiti penyakit. Tetapi adalah musuh-musuh yang tidak nampak, tidak boleh dilihat oleh mata kita dan tidak dapat dilakukan dengan kajian saintifik untuk mengesannya. Allah Subhanahu Wataala telah menegaskan hal ini dalam Al-Quran Al-Karim untuk memperingatkan manusia tentang musuh dalam diri manusia yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yusuf ayat 53 yang tafsirannya:
"Kerana sesungguhnya nafsu itu terlalu menyuruh kepada kejahatan."
Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai, sudah ditawan maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya tetapi akan mengikut apa sahaja kehendak nafsu syaitan. Nafsu syaitan mahu mencorakkan hati-hati manusia dengan sifat-sifat jahat, sifat-sifat mazmumah. Bila segala sifat mazmumah sudah bertapak pada hati manusia maka syaitan akan memperalatkan nafsu melakukan apa sahaja yang disukainya. Maka akan timbullah segala penyakit-penyakit hati.

Untuk itu kita mestilah 'mujahadah' diri kita, kita kuatkan iman kita, kita lawan serangan nafsu dan kehendak syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk menderhakai Allah Subhanahu Wataala.

Kecekapan nafsu, persediaannya, kesungguhannya, kejahatannya dan tipu dayanya itu berpuluh-puluh kali ganda lengkapnya dari peperangan senjata. Nafsu tidak tidur atau lena untuk membuatkan kita sentiasa lalai dan leka.

Kelebihan orang yang takut kepada Allah Subhanahu Wataala insya-Allah Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan petunjuk hidayah kepadanya iaitu akan mendapat pimpinan dan bimbingan daripada Allah Subhanahu Wataala sehingga ia mendapat kemudahan dalam melakukan amal ibadat. Bersifat takut kepada Allah Subhanahu Wataala ini juga menjadikan seseorang itu akan sentiasa mentaati Allah dan akan memperolehi rahmat daripada-Nya.

Apabila kita nilai, kita hitung segala nikmat yang dikurniakan Alllah kepada para hamba-Nya pasti kita sebagai hamba-Nya tidak akan ternilai dan tidak terhitung akan kebesaran dan keagungan-Nya. Betapa banyak nikmat-nikmat yang Allah limpahkan kepada hamba-hamba- Nya. Untuk kita bersihkan batin kita dengan mensyukuri segala nikmat Allah Subhanahu Wataala berikan itu, kita hindari segala kemungkaran dan dosa. Inilah kebersihan hakiki yang bakal membawa para pelakunya keuntungan di dunia dan di akhirat. Perlu kita jaga kebersihan zahir dan batin ini, jika zahir sahaja yang bersih namun penyakit hati masih bersarang dalam diri, maka belum sempurna kebersihan itu, mudah-mudahan segala usaha untuk membersihkan zahir dan batin itu akan mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wataala dan mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala akan menjauhi dan menghindari segala hasutan nafsu dan syaitan daripada hamba-hamba- Nya yang benar-benar beriman.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 222 yang tafsirannya:
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri."

Seluar Londeh Dan Pakaian seksi Wanita


Petikan dan ulasan dari Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Di dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik bebas kita semua. Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup ini sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain.

Hak terutama dan yang tertinggi ; adalah hak Allah SWT, samada suka atau tidak sesuatu hukum yang 'putus' seperti larangan Zina, Riba, tinggal solat, menutup aurat dan lain-lain adalah tidak boleh ditoleran oleh keadaan dan berubah mengikut peredaran zaman. Ia dinamakan hukum hakam yang bersifat 'muhkamat' atau 'Qatiyyat', tatkala itu, sebarang idea dan logik aqal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal.

Mudahnya, ia disebutkan di dalam hadis ini :-

Ertinya : Wahai Muadz, adakah kamu sedar dan tahu apakah hak Allah yang patut dijaga oleh hambanya, dan apa pula hak hamba yang patut dijaga oleh Allah?

Muadz menjawab : Allah dan rasulNya lebih mengetahui.

Baginda menjawab : "Sesungguhnya hak Allah yang wajib dijaga oleh hambanya adalah agar mereka sentiasa tunduk abdikan diri kepadaNya ( dengan turuti perintah dan jauhi larangannya) dan jangan ia mempersekutukanNya dengan satu apa pun.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 2701, 3/1079)

Hak kedua ; adalah hak Nabi Muhammad SAWsecara peribadi seperti berselawat ke atas baginda SAW apabila mendegar nama baginda disebut.

Terdapat juga hak baginda yang bukan peribadi tetapi atas kapasiti 'Nabi' dan 'Rasul' yang mesti diikuti manakala sebahagian lagi hanyadisunatkan sahaja.

Hak ketiga ; adalah hak pemerintah yang adil dengan cara mentaati mereka selagi mana tidak dibawa kepada kebinasaan. Sebarang penyalahgunaan hak oleh kumpulan ini, wajib dicanggahi. Sabda nabi SAW :

Ertinya : "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal yang membabitkan maksiat kepada Allah, sesungguhnya taat hanyalah dalam hal yang membawa kebaikan" ( Riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, 4/209 : Tirmidzi : Hasan Sohih)

Hak keempat dan yang ke seterusnya ; adalah hak orang ramai, antaranya hak jiran tetangga, hak rakan dan saudara dan juga hak untuk tidak dicederakan, hak bersuara, hak tidak dimalukan dan tidak diganggu, hak tubuh badan dan pelbagai lagi.

Saya tidak berniat untuk mengulasnya dengan terperinci, cuma saya ingin mengaitkannya dengan hak kebebasan berpakaian.

Adakah Islam memberikan umatnya hak kebebasan berpakaian walaupun seksi sesuka hati?

"eleh, ini kan tubuh saya, suka hati saya la nak buat apa!" jeritan seorang wanita muda yang marah bila muncul isu ni.

Jawapnya, tubuh ini adalah pinjaman sahaja dan bukan hak milik kita. Jika hak milik kita, kita boleh mematikannya dan menghidupkannya semula sesuka hati kita, sama seperti kereta 'remote control' milik anak kita. Kita boleh dengan sesuka hati sahaja menggayakannya dan menggunakannya, bila habis bateri pula boleh diisi semula dan berjalan lagi dan lagi.

Sebab itu jugakita tidak dibenarkan oleh Islam dan juga undang-undang untuk menjual sepotong tangan, sebiji jantung, sebiji kepala kita kepada orang lain sesuka hati.

Tubuh yang kita miliki ini bukan demikian, ia mesti digayakan menurut kehendak pemiliknya iaitu Allah SWT. Islam memang memberikan kebebasan dalam pakaian tetapi tidak terbuka begitu sahaja, ia terikat dengan hak dan ketetapan yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.

Justeru bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya untuk memilih apa jua jenis pakaiannya adalah tertakluk kepada displin pakaian yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.

Berdasarkan hak tersebut, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan rasulNya serta hari kematian dan balasannya, mereka tidak boleh melanggar hak Allah ini.

Tiada pakaian seksi dibenarkan kerana ia :-

1) cabuli hak Allah ; hak Allah lebih utama dari hak kita secara peribadi sebagai manusia.

Mana logiknya? Allah yang memberikan segalanya buat kita, tiba-tiba kita ingin diberikan kebebasan ikut suka hati kita?.

Sabda nabi SAW :


Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kita), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah menwajibkan bagi beberapa kewajiban dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya." ( Riwayat Al-Hakim, 4/129 : Az-Zahabi tidak memberikan komen tentang tahap hadis ini)

2) cabuli hak manusia lain ; berpakaian seksi ini juga tidak dibenarkan kerana ia melanggar hak orang lain yang sedang cuba menjaga iman dan mata mereka dari dosa-dosa.

"Jika nak seksi nampak pusat, seluar dalam, coli, dan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan, sila berpindah dari planet bumi" Jawap saya kepada sekumpulan wanita yang bertanyakan hukum kebebasan dalam pakaian.

"pastikan, planet baru itu tiada makhluk yang boleh terganggu dengan seksinya anda"

"Jika tidak, seksilah sepuasnya di depan mata suami anda, inshaAllah bermanfaat"

Saya memuji negeri Kelantan yang berusaha menjunjung hak Allah dan RasulNya sehingga mendesak mereka mengaturkan undang-undang khas pemakaian atau 'dress code', dikenakan denda bagi sesiapa yang melanggarnya. Ia amat baik kerana selain mencarik hak Allah SWT, pakaian seksi yang ditayang secara terbuka boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga orang lain.

Suami orang terlihat lalu terganggu kasihnya kepada isterinya di rumah, pemuda dan pemudi terangsang dan dirangsang lalu porak peranda hidup mereka dengan zina dan dibuang keluarga akibat 'bunting' sebelum kahwin.

Hancur ikatan suami isteri, musnah ikatan keluarga hanya dengan pakaian 'seksi' . Manusia tidak sedar dan sering mengganggap kecil. Semua perkara yang termasuk dalam hak Allah dan RasulNya sudah pasti tidak akan hanya melibatkan perkara kecil, ia pasti memberi impak yang besar kepada ketidakstabilan hidup secara umum.

"come on ustaz, takkanlah ustaz nak salahkan pakaian semata-mata dalam hal ini, think big, ahead and more mature la ustaz" Mungkin ini akan dihenyakkan kepada saya oleh wanita peminat pakaian seksi agaknya.

Sudah tentu bukan kerana pakaian seksi itu semata-mata tetapi ia adalah pelengkap dan sebagai 'medium' menggabungkan nafsu lelaki yang tidak terkawal dengannafsu wanita yang 'gila' seksi dan juga liar. Ia juga sebagai jambatan dan 'iklan'untuk berlakunya zina, rogol dan seumpamanya. Itulah adalah pakaian seksi dan berbogel secara 'sipi-sipi'.

"Sebenarnya ustaz, bogel terus lebih kurang bahaya dari seksi" kata seorang mahasiswa kepada saya melalui sms.

Bila ditanya mengapa, ia kata "Kerana bogel terus tak 'best', tak 'suspend', terus nampak je,berbanding seksi. Nampak sikit sana, sikit sini. Sebab tu ia lebih mendebarkan jantung dan nafsu muda kami untuk melihat lebih lagi dan lagi hingga boleh jatuh buat zina dan rogol" sambung mahasiswa berdarah anak muda ini.

Satu penjelasan yang jujur pada hemat saya.

Awas, jangan sesekali kita merasa lebih pandai dari Allah dan RasulNya yang mengatur system alam ini. Kelak kita akan ke kubur jua.

Kini, sebuah negeri di Amerika mungkin semakin sedar buruknya pakaian seksi ini, cuma akibat tiada keimanan dan ilmu mencukupi, mereka hanya mula larang 'seluar londeh' sahaja buat masa ini, sedangkan baju londeh, kain londeh dan londeh-londeh yang lain masih belum dapat ditanggapi keburukannya oleh aqal manusawi mereka yang lemah.

Kerana itu, ajaran agama diperlukan. Itulah Islam satu-satunya yang diredhai Allah.

Hakikat Umur


Masa berlalu dengan cepat meninggalkan kita. 40 atau 50 tahun yang lalu kita seorang bayi yang tidak tahu apa-apa kecuali tangisan. 15 atau 20 tahun selepas itu kita serong remaja yang mempunyai ramai kenalan dan sahabat handai. Kemudian kita menjadi dewasa menempuh banyak pengalaman pahit manis. Dan akhirnya kita menjadi seorang tua yang sudah lemah anggota dan tidak setampan atau secantik dulu. Ketika itu orang ramai sudah menjauhkan diri dari kita, bahkan anak-anak kadangkala tidak suka bergaul atau melayan kita seperti biasa.

Inilah hakikat hidup yang dikatakan tipu daya. Tidak ada yang kekal. Paras yang handsome tak kekal lama, akhirnya berkedut. Gigi yang penuh dan putih berseri lama-kelamaan mula rapuh dan rongak, rambut hitam yang segar kini menjadi putih dan lesu, deria telinga yang tajam mula berkurangan. Begitu juga tubuh yang tampan dah mula lemah dan berpenyakit. Ingatlah amaran Allah telah tiba - bahawa dunia akan meninggalkan kita dan kita sedang menuju alam lain iaitu alam kubur (barzakh) dan kemudian ke alam akhirat yang abadi. Di alam inilah kita akan hidup selama-lamanya. Kita akan tinggal di syurga atau neraka, bergantung kepada amalan semasa hidup di dunia.

Allah bersifat dengan Rahman (Pengasih kepada semua) dan Rahim (Penyayang khusus kepada orang mukmin). Semasa peringkat bayi, Allah tugaskan kepada ibu bapa untuk menjaga dan membesarkan kita. Mereka mengasuh dan mendidik serta mentarbiah dengan akhlak dan agama. Semasa remaja, kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi melalui usaha mereka dan juga masyarakat keliling. Ketika dewasa, kita pula menjadi pembimbing kepada anak cucu serta orang-orang lain. Ibarat pokok asalnya benih disirami air, kemudian membesar mengeluarkan bunga dan akhirnya mengeluarkan buah untuk dimakan oleh manusia dan haiwan.

Tetapi apabila kita sudah tua dan tidak bermaya lagi, kita tidak begitu diperlukan. Kita mula disisih dari orangramai. Pergerakan kita terhad. Minda kita mula merosot. Ingatan sudah tidak begitu kuat. Kesihatan kita makin terjejas. Apakah ini menjadi tanda bahawa Allah sudah tidak menyayangi kita lagi? Tidak sekali-kali! Malahan kesayangan Allah tetap sama. Apabila Allah renggangkan manusia daripada kita, itu bermakna Allah hendakkan kita mendampingi diriNya. Supaya hati kita bertambah tertambat dan lebih bertawakkal kepadaNya saja. Penyerahan diri hanya kepada Allah apabila manusia sudah mula renggang dari kita. Masa tua kita banyak menyendiri dan tidak disibukkan dengan pelbagai urusan dunia. Jadi amatlah sesuai untuk kita melipatgandakan amalan sambil bertafakkur, berzikir dan muhasabah diri tentang amalan yang kita buat selama ini. Kita punya masa yang banyak untuk koreksi diri dan bertaubat. Selagi nyawa belum sampai di khalqum (ghargharah), pintu taubat masih terbuka buat kita.

Amalan kita yang biasa kita lakukan semasa muda atau ketika sihat, walaupun sudah tidak mampu dilakukan lagi kerana sudah uzur, namun pahalanya tetap kita perolehi meskipun kita tidak lakukan. Contohnya semasa muda, sudah menjadi amalan atau budaya untuk bersolat jemaah atau menghadiri majlis ilmu di masjid. Tetapi apakan daya amalan itu tidak dapat dilakukan lagi semasa tua. Sungguhpun begitu pahala amalannya itu terus diperolehi walaupun kita tidak membuatnya.

Nabi Muhammad saw pernah berpesan supaya kita merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Di antaranya ialah beramal ketika muda sebelum datang masa tua. Masa muda ialah masa yang amat baik untuk beramal kerana ketika itu badan dan jiwa kita masih kuat. Jadi apabila sudah tua, amal yang kita buat akan terus mengalir walaupun kita tidak membuatnya. Masa muda ibarat masa menanam dan tua ialah masa untuk kita tuai hasilnya.


Meskipun demikian kita seharusnya berdoa supaya tidak menjadi seorang tua yang tidak sedarkan diri. Semakin tua semakin menjadi. Umur sudah menjangkau 50 tapi masih merasakan seolah-olah masih remaja. Usia sudah tua tapi berperangai macam orang muda. Inilah yang kita takuti kerana hati kita mudah terbalik. Nabi pernah bersabda sekiranya umur sudah mencapai 2/3 (40 tahun) tetapi amal kejahatan lebih banyak daripada kebajikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk menempah tempat di neraka. Kita juga seharusnya berdoa supaya umur kita tidak terlalu panjang sehingga menjadi nyanyuk dan kembali seperti perangai bayi yang tidak dapat membezakan sesuatu.

"Ya Allah, kami memohon kepadaMu supaya hidupkan kami sekiranya ia baik bagi kami. Dan Engkau matikanlah kami sekiranya ia baik bagi kami. Janganlah Engkau tarik hidayah yang telah Engkau berikan kepada kami. Ampunilah kami di atas kelemahan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul-khatimah dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan suul-khatimah. Akhirkanlah lisan kami dengan kalimah Lailahaillah, semoga Engkau masukkan kami di dalam golongan Abrar. Sepeninggalan kami kelak, ya Allah Engkau jadikanlah anak cucu kami sebagai pewaris Nabi yang menegakkan kalimah dan agamaMu di saat mana manusia telah banyak melupakanMu. Akhirnya Ya Allah, berkatilah saki baki umur kami yang tinggal sedikit ini untuk berbakti kepadaMu dan Engkau redhailah kami menjadi hambaMu. Amin ya Rabbal Alamin...

Jenazah Bertukar Menjadi Babi Hutan


Seorang anak mendatangi Rasulullah sambil menangis. Peristiwa itu sangat mengharukan Rasulullah S.A.W yang sedang duduk bersama-sama sahabat yang lain.

"Mengapa engkau menangis wahai anakku?" tanya Rasulullah. "Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya?" Kata anak itu.

Segeralah Rasulullah memerintahkan Abu Bakar dan Umar untuk menjenguk jenazah itu. Betapa terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua sahabat itu lalu segera kembali melapor kepada Rasulullah S.A.W.

Maka datanglah sendiri Rasulullah S.A.W ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia. Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa hairannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan berubah kembali menjadi babi hutan.Melihat kejadian itu, Rasulullah menanyakan anak itu apa yang dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya.

"Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya," jawab anak itu. Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya, "Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya bila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."

SEANDAINYA AKU JATUH CINTA.....


Ya Allah....
Aku minta izin
Bila suatu saat aku jatuh hati
Jangan biarkan cintaku untuk-Mu berkurang
Hingga membuat aku lalai akan adanya Engkau

Ya Allah....
Aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan bilangan cinta-Mu
yang tak terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh

Ya Allah....
Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati
Pilihkan untukku seorang yang hatinya
penuh dengan kasih dan cinta-Mu
Dan membuatku makin menganggumi- Mu

Ya Allah...
Bila seuatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Jodohkanlah kami
Satukanlah kami
Berikanlah kami kesempatan untuk lebih
mendekati cinta-Mu
Dalam suasana yang sakinah, mawaddah dan rahmah

Ya Allah....
Pintaku yang terakhir adalah seandainye aku jatuh hati
Jangan pernah Kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu
Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu
Izinkanlah aku untuk menemui kerinduan-Mu

GOLONGAN MANUSIA YANG DIDOAKAN MALAIKAT


Orang - orang yang Didoakan oleh Malaikat Oleh : Syaikh Dr. Fadhl Ilahi

Allah SWT berfirman, "Sebenarnya (malaikat - malaikat itu) adalah hamba - hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah - perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka dan yang dibelakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa'at melainkan kepada orang - orang yang diridhai Allah, dan mereka selalu berhati - hati karena takut kepada-Nya" (QS Al Anbiyaa' 26-28)

Inilah orang - orang yang didoakan oleh para malaikat : 1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa 'Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan karena tidur dalam keadaan suci'" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

1. Orang yang duduk menunggu shalat. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah salah seorang diantara kalian yang duduk menunggu shalat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia'" (Shahih Muslim no. 469)

1. Orang - orang yang berada di shaf bagian depan di dalam shalat. Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra' bin 'Azib ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada (orang - orang) yang berada pada shaf - shaf terdepan" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)

1. Orang - orang yang menyambung shaf (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalm shaf). Para Imam yaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu bershalawat kepada orang - orang yang menyambung shaf - shaf" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)

1. Para malaikat mengucapkan 'Amin' ketika seorang Imam selesai membaca Al Fatihah. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Jika seorang Imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn', maka ucapkanlah oleh kalian 'aamiin', karena barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu" (Shahih Bukhari no. 782)

1. Orang yang duduk di tempat shalatnya setelah melakukan shalat. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat akan selalu bershalawat kepada salah satu diantara kalian selama ia ada di dalam tempat shalat dimana ia melakukan shalat, selama ia belum batal wudhunya, (para malaikat) berkata, 'Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia'" (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir menshahihkan hadits ini)

1. Orang - orang yang melakukan shalat shubuh dan 'ashar secara berjama'ah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat berkumpul pada saat shalat shubuh lalu para malaikat ( yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga shubuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu shalat 'ashar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga shalat 'ashar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, 'Bagaimana kalian meninggalkan hambaku ?', mereka menjawab, 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan shalat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan shalat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat'" (Al Musnad no. 9140, hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)

1. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa sepengetahuan orang yang didoakan. Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda' ra., bahwasannya Rasulullah SAW bersabda, "Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa sepengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata 'aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan'" (Shahih Muslim no. 2733)

1. Orang - orang yang berinfak. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu diantara keduanya berkata, 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak'. Dan lainnya berkata, 'Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit'" ( Shahih Bukhari no. 1442 dan Shahih Muslim no. 1010)

1. Orang yang makan sahur. Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayaatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada orang - orang yang makan sahur" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)

1. Orang yang menjenguk orang sakit. Imam Ahmad meriwayatkan dari 'Ali bin Abi Thalib ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70.000 malaikat untuknya yang akan bershalawat kepadanya di waktu siang kapan saja hingga sore dan di waktu malam kapan saja hingga shubuh" (Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, "Sanadnya shahih")

1. Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain. Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya bershalawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain" (dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343) Maraji' :

MENDIDIK ANAK UNTUK SIAPA


Bagi kebanyakan manusia, termasuk orang Melayu,anak-anak yang masih kecil dianggap sebagai cahaya mata, belahan hati, penawar jiwa, intan payung dan macam-macam lagi. Sangat disayang dan dimanjakan.Apabila besar sikit, disediakan anak-anak itu untuk menghadapi tuntutan hidup. Diberi pelajaran dan kemahiran setinggi-tingginya supaya apabila besar nanti dapat kerja, dapat jawatan dan dapat gaji lumayan. Mereka rasakan itulah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Mereka mahukan anak-anak mereka berjaya dan senang dalam hidup.

Kadang-kadang terselit juga di hati ibu ayah, kalau-kalau anak-anak sudah besar dan berjaya, maka akan senanglah hidup ibu ayah. Anak- anak akan membantu dan membela mereka. Anak-anaklah menjadi tempat mereka bergantung apabila tua kelak. Anak-anaklah yang menjamin masa depan mereka. Mereka bersandar kepada anak-anak mereka untuk hari tua.

Memang anak-anak patut membela dan berkhidmat kepada ibu ayah setelah mereka tua. Ini tuntutan fitrah. Ini juga tuntutan agama. Tuhan pun memang hendak begitu. Tetapi patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk tujuan ini semata-mata.Patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk kepentingan diri mereka sendiri? Patutkah anak-anak itu dianggap sebagai satu pelaburan untuk kebaikan dan kesenangan masa depan ibu ayah? Kalau begitu, anak-anak tidak ubah sebagai haiwan ternakan. Dibela, diternak supaya akan dapat merasakan untung dan hasilnya satu hari nanti. Kalau begitu mendidik anak tak ubah seperti satu usaha komersial atau satu penanaman modal atau satu kegiatan ekonomi.

Konsep ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Ia tersimpang dari kehendak agama dan kehendak Tuhan. Anak-anak itu adalah amanah Tuhan. Mereka perlu dididik untuk Tuhan.Mereka perlu dididik untuk mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan.Mereka perlu dididik supaya menjadi hamba Tuhan selepas itu menjadi khalifah Tuhan dimuka bumi. Mereka perlu dididik untuk mengabdi diri kepada Tuhan dan menjadikan cinta agung mereka. Mereka perlu dididik supaya menjadi orang yang beriman dan bertaqwa yang hidup mati mereka hanyalah untuk Tuhan. Anak-anak itu anugerah Tuhan. Oleh itu, kenalah didik mereka untuk Tuhan.

Kalau ini dilakukan, barulah anak-anak itu akan menjadi orang-orang soleh yang berakhlak dan berjasa. Orang yang beriman dan bertaqwa sudah tentu akan berkhidmat kepada Tuhannya dan sesama manusia, lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua ibu dan ayah mereka. Soal anak-anak menjaga dan membela ibu ayah mereka akan terjadi dengan sendiri setelah anak-anak itu menjadi hamba-hamba yang beriman dan bertaqwa.

Apabila anak-anak dididik hanya untuk mengejar dunia dan tidak untuk mengenal, mencintai dan takut dengan Tuhan, maka dunialah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Keinsanan mereka tidak akan terbina, nafsu mereka akan menjadi rakus dan segala sifat-sifat mazmumah yang keji seperti tamak, haloba, hasad, dengki, bakhil, pemarah dan lain- lain yang bersarang dihati mereka.

Mereka tidak akan mempedulikan halal atau haram, hak atau batil, benar atau salah, adil atau zalim, manusia ataupun Tuhan. Kalau Tuhan pun mereka tidak pedulikan, apakah harapan mereka memperdulikan ibu ayah mereka, jauh sekali untuk membela dan berkhidmat kepada mereka. Ibu ayah akan menjadi penghalang untuk
mereka mengejar dunia mereka. Mereka akhirnya derhaka kepada ibu dan ayah.
Di Akhirat nanti anak-anak ini akan menjadi orang yang muflis. Mereka akan menentang dan menjadi seteru kepada ibu ayah mereka.Mereka akan menuntut hak yang tidak diberikan kepada mereka. Mereka akan menyalahkan ibu ayah mereka kerana tidak mendidik mereka untuk Tuhan. Ibu dan ayah yang tidak mendidik anak-anak mereka untuk Tuhan pasti akan rugi di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat. Di
Akhirat nanti anak yang mereka sayang itu akan bertukar menjadi musuh.

Kalau anak-anak dididik untuk Tuhan hingga mereka menjadi orang- orang yang beriman dan bertaqwa mereka akan menjadi aset kepada kedua ibu ayah mereka. Mereka akan menjadi aset di dunia dan aset di Akhirat. Di dunia mereka akan berkhidmat dan membela kedua ibu ayah mereka. Apabila mati kedua ibu dan ayah, anak seperti ini akan mendoakan mereka. Doa mereka tidak terhijab. Ibu dan ayah juga kan terus mendapat pahala yang mengalir ke dalam kubur hasil dari amalan soleh yang dibuat oleh anak mereka di dunia berkat dididkan dan ilmu yang telah mereka curahkan kepada anak mereka itu.

Hadis ada menyebut:
" Bila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah yang dibuatnya, ilmu yang bermenafaat yang diajarnya dan anaknya yang soleh."

Kita harus ingat bahawa anak kita itu adalah hamba Tuhan. Tuhan lebih berhak ke atasnya daripada kita. Hanya Tuhan mengamanahkan dia kepada kita. Oleh itu, kita perlu didik dia untuk Tuhan, bukan untuk kita.

Anak kita hanya anak kita sementara di dunia. Di Akhirat, dia bukan anak kita lagi. Di Akhirat, anak tak peduli ayah, anak tak peduli ibu. Ibu ayah juga tak pedulikan anak. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Setakat mana kita mampu mendidik anak-anak kita untuk Tuhan, setakat itulah manfaatnya untuk diri kita.

MARILAH AMALKAN ZIKIR TAUBAT


bait 1
Ilaahii lastu lil firdausi ahlaa wa laa aqwaa 'alaa naaril jahiimi
bait 2
Fa hablii taubatan waghfir zunuubii fa innaka ghaafirudzdzambil 'azhiimi
bait 3
Dzunuubii mitslu a'daadir rimaali fa hablii taubatan yaa dzaaljalaali
bait 4
Wa 'umrii naaqishun fii kulli yaumi wa dzambii zaa-idun kaifah timaali
bait 5
Ilaahii 'abdukal 'aashii ataaka muqirran bidzdzunuubi wa qad da'aaka
bait 6
Fa in taghfir fa anta lidzaaka ahlun wa in tathrud faman narjuu siwaaka


Wahai Tuhanku Aku Tidak layak untuk syurgaMu
Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa NerakaMu
Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku ampunkanlah Dosa ku Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun Dosa-Dosa besar

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
terimalah taubatku wahai Tuhan yang Maha Tinggi
Dan usiaku berkurangan setiap hari
sedangkan dosaku pula bertambah setiap masa

Tuhanku, hambaMu yang sering melakukan maksiat telah datang kepadaMu
Sentiasa membuat dosa, dan sesungguhnya telah berdoa kepadaMu
Jika Kau ampunkan, maka itu adalah hakMu
Dan jika Kau tinggalkan, maka siapa lagi yang hendak kami harapkan sepertiMu...

KISAH PEMUDA BERIBUBAPAKAN KHINZIR...


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Sebelum Tidur Apa Yang Perlu Lakukan


Tafsir Haqqi)
Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara,iaitu :

1. Sebelum khatam Al Qur'an.
2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir.
3. Sebelum para muslim meredhai kamu.
4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah....

"Bertanya Aisyah : "Ya Rasulullah.... Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika?
"Rasul tersenyum dan bersabda : "Jika engkau tidur bacalah :

1. Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur'an.
2. Membaca selawat untukKu dan para nabi sebelum aku,
maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat.
3. Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredoi kamu.
4. Perbanyaklah bertasbih,bertahmid,bertahlil,bertakbir maka
seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah"