THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Ahad, 4 Oktober 2009

Idolaku Nabi Muhammad S.A.W


ANDAI ditanya kepada remaja siapakah idola mereka, tentu ramai jawapannya berbeza mengikut minat dan impian masing-masing. Bagi yang menyukai bidang hiburan, tentu memilih penyanyi atau pelakon sebagai idola mereka. Bagi yang meminati sukan pula, bintang sukan yang hebat dan ternama menjadi pilihan. Begitu juga jika mereka meminati bidang lain.
Memilih seseorang yang baik sebagai idola tidak menjadi kesalahan, malah digalakkan sebagai inspirasi dan motivasi dalam mencapai impian dan cita-cita seseorang.

Namun, bagaimana pula jika idola yang dipilih itu amat rendah dari segi akhlak dan moralnya? Tambahan pula, hari ini sumber bacaan, terutama majalah sering memaparkan gelagat, bentuk tubuh, aksi, kisah peribadi dan sebagainya mengenai selebriti popular yang menjadi kegilaan remaja.

Apabila menjadi idola, segala cerita peribadinya akan diingati dan dibawa ke mana-mana. Dengan rasa bangga, mereka mencanangkan pula kepada rakan sebaya mengenai apa yang diketahui mengenai idola itu, hinggakan perkara bersifat peribadi pun turut dihafal dan diingati.

Sesekali difikirkan, itulah agaknya pilihan terbaik remaja masa kini. Itulah idola pujaan hidup mereka yang mesti dicontohi dalam melengkapkan diri sebagai remaja Islam era siber ini.

Dunia remaja sebegitu akan kita dapati di akhbar dan media elektronik. Dunia keremajaan seperti ini dirasakan penuh dengan keseronokan, kegilaan, riuh rendah dan seolah-olah dunia ini berada dalam genggaman mereka.

Amat jarang kita mendengar remaja kini menjadikan tokoh pejuang, sarjana, cendekiawan, ulama, pengarang atau mujahid Islam zaman Rasulullah SAW sebagai idola mereka. Seterusnya, meniru dan mengamalkan segala sifat dan peribadi mulia mereka.

Dalam al-Quran dan sejarah Islam, banyak tokoh Islam yang boleh dicontohi. Umpamanya, keperibadian Nabi Muhammad. Allah sendiri mengakui bahawa pada diri Baginda banyak teladan baik untuk diikuti. Antaranya sifat amanah, benar, bijaksana, bersopan-santun, berbudi bahasa, cerdik, lemah-lembut, menjauhi persengketaan dan suka menolong orang lain.

Begitu juga dengan pakaian dan rambut Baginda sentiasa bersih dan kemas. Baginda juga diberi gelaran al-Amin yang bermaksud boleh dipercayai.

Jelaslah, pada usia remaja Baginda, Rasulullah wajar dijadikan model kepada seluruh umat Islam, malah umat manusia sejagat sama ada dari sudut akhlak, muamalah mahupun sahsiah. Sesungguhnya, Allah menjadikan model akhlak, perilaku, perbuatan, perkataan dan keperibadian Baginda semata-mata agar umatnya mengikut dan meniru cara serta gaya Nabi Muhammad yang dikenali sebagai sunnah.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang amat baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak sewaktu susah dan senang." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Begitu juga dengan sahabat dan tokoh Islam seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Bin Affan, Saidina Ali Bin Abi Talib, Salman al-Farisi, Salahuddin al-Ayyubi dan Abu Ayyub al-Ansari yang sememangnya wajar dicontohi oleh remaja Muslim.

Mereka boleh dijadikan contoh pemuda dalam Islam yang mempunyai keperibadian kuat, setia kepada kawan dan beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad sehingga dimuliakan dan menjadi kebanggaan umat Islam.

Bagi remaja perempuan, alangkah bagusnya menjadikan Siti Khadijah Binti Khuwailid, Maryam Binti Imran, Saidatina Fatimah, Aisyah, Nusaibah dan ramai lagi wanita-wanita salihah yang mempunyai perwatakan, budi pekerti, tabah, cekal dan sebagainya yang boleh dijadikan idola atau role model dalam hidup.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara: masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin."

Hadis itu menjelaskan pentingnya umat Islam merebut lima perkara yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah iaitu masa hidup, sihat, lapang, muda dan senang atau kaya sebelum datangnya lima perkara yang lain iaitu masa mati, sakit, sibuk, tua dan miskin atau ditimpa kesusahan. Apa yang menarik perhatian dalam hadis itu adalah masa muda.

Ia menunjuk dan membuktikan betapa tingginya pandangan Rasulullah terhadap kedudukan remaja. Hal ini dapat difahami bahawa kedudukan remaja dalam sejarah kehidupan manusia termasuk suatu perkara yang tidak boleh diabaikan.

Remaja adalah generasi harapan dalam membangunkan umat. Mereka yang akan mengambil alih tugas generasi tua untuk memimpin bangsa dan umat pada masa akan datang. Peranan orang muda penting dalam kehidupan masyarakat kerana watak dan buah fikiran mereka amat diperlukan untuk membangunkan sesebuah negara.

Kemajuan sesebuah negara memerlukan remaja yang cergas dan berpendidikan. Remaja perlu memikirkan secara rasional apakah ertinya hidup. Adakah sekadar untuk hidup di dunia saja, tanpa memikirkan kehidupan di akhirat? Perlu disedari, era moden dengan pelbagai kecanggihan hari ini menjadi medan baru bagi musuh Islam untuk menyerapkan doktrin dan pengaruh buruk mereka ke dalam jiwa remaja.

Hiburan yang dicorakkan mereka adalah alternatif mencapai cita-cita itu. Maka, lahirlah personaliti dengan rupa wajah yang pelbagai bentuk dari pelbagai sudut, seksi, tampan, gagah, kacak, berpeluk-pelukan dengan pasangan bukan muhrim. Begitu juga pelbagai lagi gelagat yang bercanggah dengan nilai murni agama dan budaya bangsa.

Justeru, penting bagi remaja Islam supaya berusaha membentuk keperibadian berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika ini dilakukan oleh remaja, nescaya akan wujud insan generasi alaf baru yang mempunyai peribadi yang seiring dengan kehendak agama, bangsa dan negara.

Remaja perlu bijak mengendalikan program hidup, di samping selalu memohon kepada Allah melalui doa atau sembahyang supaya ditunjukkan jalan yang benar dan lurus, jauh daripada terpesong ke jalan yang dibentang oleh musuh-musuh Islam.

Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi, ayat 13)

0 comments: