THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sabtu, 11 Julai 2009

HUKUM MEMBACA KITAB SUCI AL-QURAN KETIKA BERADA DALAM HAID

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI PENYAYANG


I. HUKUM MEMBACA AL-QURAN

Ulamak bersepakat bahawa wanita haid harus berzikir dengan beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan lain-lain. Adapun membaca (tilawah) al-Quran, mereka berbeza pandangan.

Imam Abu Hanifah, Ahmad dan asy-Syafi’iy di dalam salah satu riwayat darinya berpendapat haram bagi wanita haid membaca al-Quran. Dalil mereka:

1. Hadis yang diriwayat dari Ibn Umar RA dari Nabi SAW, baginda telah bersabda maksudnya: “Orang yang berjunub dan wanita haid tidak harus membaca sedikitpun daripada al-Quran”. Riwayat Abu Daud, al-Tirzimi dan Ibn Majah.

2. Qias kepada orang yang berjunub. Kebanyakan ulamak berpendapat orang yang berjunub haram membaca al-Quran berdasarkan apa yang diriwayat oleh Ali RA, beliau berkata maksudnya: ”Rasulullah SAW keluar selepas menunaikan hajatnya (hadas kecil), lalu membaca al-Quran dan makan daging bersama dengan kami. Tiada suatupun yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali junub”.

Menurut riwayat al-Tirmizi : ”Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepada kami dalam semua keadaan selagi mana baginda tidak dalam keadaan junub”. Mereka berkata, junub adalah hadas. Haid pula lebih besar hadasnya kerana wanita yang datang haid tidak boleh berpuasa selagi darah tidak berhenti. Sedangkan orang yang berjunub boleh berpuasa. Wanita haid juga tidak boleh menunaikan solat dan tidak boleh disetubuhi. Maka apa yang tidak harus dilakukan oleh orang yang berjunub kerana hadasnya, orang yang didatangi haid lebih-lebih lagi tidak harus.

Imam Malik, berpendapat orang yang didatangi haid tidak haram membaca al-Quran tetapi haram bagi orang yang berjunub. Alasannya ialah hari-hari haid adalah lama. Sekiranya wanita haid ditegah membaca al-Quran kita bimbang ia akan lupa. Salah satu riwayat dari Imam asy-Syafi’iy dan satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat tidak haram. Pendapat ini turut dipersetujui oleh Imam Ibn Taimiyah. Beliau telah mengemukakan beberapa dalil. Anataranya:

1. Tidak ada satu dalil pun, sama ada al-Quran atau as-Sunnah yang menegah wanita haid membaca al-Quran. Hadis yang diriwayatkan dari Ibn Umar adalah tidak sahih di sisi semua ahli Hadis kerana Hadis tersebut diriwayatkan oleh Ismail bin ’Iyasy dari Musa bin ’Uqbah dari Nafi’ dari Ibn Umar. Hadis-hadis Ismail dari Ahli Hijaz banyak berlaku kesilapan.

2. Ramai wanita yang datang haid pada zaman Nabi SAW. Sekiranya haram bagi mereka membaca al-Quran seperti solat tentulah Nabi SAW akan menerangkannya kepada umatnya serta diajar oleh Ummahat al-Mukminin dan perkara ini pastinya diketahui oleh ramai orang. Oleh kerana tiada larangan, sedangkan kedatangan haid seringkali berlaku ketika hayat baginda, nyatalah ia tidak haram.

Imam Al-Bukhariy berkata: menurut pendapat Ibrahim, tidak mengapa wanita haid membaca al-Quran. Beliau juga berpendapat orang berjunub juga tidak mengapa membaca al-Quran. Sesungguhnya Nabi SAW berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan. Ummu ’Atiyyah berkata: ”Kami diperintahkan membawa wanita haid keluar (ke tempat solat hari raya).

Mereka ikut bertakbir dan berdoa dengan para jamaah”. Imam Ibn Hajar mengulas kata-kata al-Bukhari di atas bahawa maksud al-Bukhari ialah haid dan janabah (junub) tidak menghalang ibadah dan sah bagi mereka beberapa ibadah badaniyah seperti zikir dan lain-lain. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu zikir, maka ia adalah sama dengan zikir yang lain. Sekiranya membaca al-Quran itu ta’abbud, maka ia memerlukan dalil khusus mengenainya.

Tetapi tidak ada satu Hadis pun yang sahih (di sisi Imam al-Bukhariy) mengenai larangan membacanya ketika haid dan junub. Meskipun terdapat Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh pihak lain, kebanyakan Hadis-hadis itu boleh diberbahaskan atau boleh ditakwil. Lantaran itu Imam al-Bukhariy dan Imam-imam lain seperti at-Tobariy, Ibn al-Munzir dan Daud az-Zohiriy yang berpendapat harus membacanya berpegang kepada Hadis yang bermaksud: ”Nabi SAW berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan”. Zikir adalah umum, meliputi membaca al-Quran dan lain-lain. Hanya uruf sahaja yang membezakannya.

II. HUKUM MENYENTUH KITAB SUCI AL-QURAN

Jumhur berpendapat wanita haid dan orang yang berjunub tidak harus menyentuh al-Quran dan membawanya. Dalil mereka ialah:

1. Firman Allah SWT bermaksud:
”Bahawa sesungguhnya itulah Al-Qur'an yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. Al-Qur'an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” [Al-Waqi’ah : 77-80]

Imam an-Nawawiy berkata, di dalam ayat di atas Allah SWT menyifatkan ’Qur'an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam’. Ini jelas menunjukkan ia merujuk mushaf yang ada pada kita, bukan yang berada di Luh Mahfuz.

2. Hadis yang diriwayat dari Abi Bakr bin Muhammad bin ’Amru bin Hazm dari ayahnya dari datuknya, bahawa Nabi SAW telah menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman. Antara kandungan surat itu tertulis: ”Tidak menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci”. Riwayat al-Athram dan ad-Daruqutniy.

Ketika mengulas Hadis ini, Imam asy-Syaukaniy berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa mushaf tidak boleh disentuk kecuali orang yang suci. Tetapi ungkapan orang yang suci mengandungi banyak makna. Kadang-kadang ungkapan itu bermaksud orang yang beriman seperti firmanNya yang bermaksud: ” Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya orang musyrik itu najis,.......” [At-Taubah : 28] Di dalam sepotong Hadis Nabi SAW berkata kepada Abu Hurairah maksudnya: ”Mukmin itu tidak najis”.

Makna lain bagi ungkapan orang yang suci ialah orang yang tidak berhadas sama ada hadas kecil atau hadas besar dan orang yang di badannya tiada najis sama ada najis hissiy (najis yang nyata) atau najis hukmiy (najis yang tidak nyata). Ungkapan yang mengandungi pelbagai pengertian tidak boleh diputuskan pengertian mana yang mesti dipegang tanpa dalil lain yang menyokongnya. Dalam bab ini telah berlaku persepakatan ulamak bahawa tidak harus bagi mereka yang berhadas besar menyentuh al-Quran. Yang tidak selari dengan persepakatan ini hanyalah Daud az-Zohiriy.

Walaubagaimana pun ulamak Mazhab Malikiy mengecualikan guru dan pelajar. Mereka berkata harus bagi guru dan pelajar menyentuh dan membawa al-Quran. Ulamak Mazhab Hanafiy berkata harus menyentuh al-Quran yang diletak di dalam sarungnya.

0 comments: