THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sabtu, 18 Julai 2009

ERTI KUSYUK SEBENAR...

Kita selalu mendengar dan kadang-kadang kita bincang dan kita
muzakarah tentang khusyuk. Umumnya orang kan mengaitkan khusyuk itu
dengan sembahyang. Bila sahaja disebut khusyuk, terlintaslah di
fikiran kita tentang penumpuan dan kehadiran hati dalam sembahyang.

Justeru itu, ramai orang hanya mengusahakan khusyuk ketika hendak
memulakan sembahyang khususnya semasa takbiratul ihram. Ketika
itulah kita cuba dan beusaha untuk menumpukan perhatian dan
menghadirkan diri dalam sembahyang dengan mengikuti dan memahami apa
yang kit abaca dan mengelak dari memikirkan perkara-perkara lain
yang tidak bersangkut paut dengan sembahyang itu.

Kefhaman khusyuk seperti ini telah tersimpang dari erti dan maksud
khusyuk yang sebenarnya. Kerana salah faham inilah maka ramai orang
tidak berjaya untuk mencapai khusyuk yang sebenarnya di dalam
sembahyang walaupun telah bersembahyang selama berpuluh-puluh tahun.

Mereka sangka telah khusyuk dalam sembahyang, tetapi kesan
sembahyang terhadap diri, akhlak dan peribadi sangat kurang atau
minimum. Tidak nampak banyak perubahan pada diri dan peribadi
walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bersembahyang.

Walhal sepatutnya orang yang benar-benar khusyuk dalam sembahyang
itu ada kesan pada dirinya. Teguh dan iman kuat dan keyakinannya.
Murni dan luhur akhlaknya. Berdisiplin hidupnya. Bersih dirinya
daripada berbuat maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit.
Kuat berpegang dan mengamalkan syariat Islam dan bersih hati dan
jiwanya daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat keji.

Namun begitu, jika seseorang itu sudah boleh menumpukan fikirannya
di dalam sembahyang, sudah boleh mengikuti dan faham apa yang dibaca
dan dilafazkannya di dalam sembahyangnya dan tidak pula teringat apa-
apa perkara di luar sembahyang yang tidak ada sangkut paut dengan
sembahyangnya dari mula takbir hinga dia memberi salam, ini sudah
dianggap baik. Ini pun bukan mudah untuk dicapai. Tetapi ini belum
lagi dianggap khusyuk. Kesan sembahyang seperti ini terhadap diri
dan peribadi kita walaupun ada, terlalu sedikit dan tidak begitu
ketara.

Tuntutan supaya umat Islam itu khusyuk buka terhad ketika di dalam
sembahyang sahaja. Umat Islam dituntut supaya berada di dalam
keadaan khusyuk setiap masa walaupun di luar, lebih-lebih lagilah di
dalam sembahyang. Kalau kita tidak khusyuk di luar sembahyang, agak
mustahil kita untuk khusyuk di dalam sembahyang. Kerana khusyuk itu
bukan perkara akal atau fikiran atau meditasi. Khusyuk itu adalah
perkara hati, jiwa dan roh. Ini melibatkan rasa-rasa terhadap Tuhan,
terhadap ciptaan-ciptaan Tuhan, terhadap diri kita sebagai hamba,
terhadap dosa dan pahala, Syurga dan Neraka dan sebagainya.

Perkara akal atau fikiran mungkin mudah memulakan dan menamatkan
seperti kita membuka dan menutup suis lampu atau seperti kita
menukar channel televisyen. Setakat membawa fikiran dan kesedaran
akal kita ke dalam sembahyang mungkin lebih mudah dan boleh dibuat
ketika bertakbiratul ihram. Tetapi untuk membawa `rasa' ini
mustahil. Kalau rasa khusyuk tidak wujud di luar atau sebelum
sembahyang, maka ia terus tidak akan wujud di dalam atau sepanjang
masa kita sembahyang. Sebab perkara roh, hati dan jiwa yang membawa
kepada rasa-rasa ini ialah hasil dari penghayatan dan penjiwaan. Ia
tidak boleh dibuka atau di "on"kan ikut sesuka hati kita. Ia adalah
keadaan dan sifat hati itu sendiri. Kalau ada rasa khusyuk maka
khusyuklah dia. Kalau tidak ada maka dia tidak akan dapat khusyuk.

Allah ada berfirman:

" Di mana sahaja kamu berada, di sana ada Tuhan."

Ini membawa maksud bahawa di mana sahaja kita berada dan pada
setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan
sentiasa melihat, mendengar, mengetahui tentang hal lahir dan batin
dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, kita sentiasa disuruh
rasa bertuhan., lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Malahan di
dalam sembahyang, rasa bertuhan ini sepatutnya lebih subuir, lebih
hidup, lebih tajam kerana di dalam sembahyang itu ada disiplin,
rukun-rukun dan syarat-syarat sah batalnya.

Kalau kita belum khusyuk di luar atau sebelum sembahyang, dan hanya
mampu membawa akal dan fikiran kita sahaja ke dalam sembahyang,
paling tinggi kita hanya akan dapat menumpukan perhatian dalam
sembahyang dan tidak lebih dari itu. Kita tidak akan rasa hebat
dengan Tuhan, rasa Allah itu maha Agung, maha Perkasa, Maha
Berkuasa, Maha Pengampun, Maha Penyayang dan sebagainya. Jauh
sekalilah dapat kita rasa berkasih sayang, bermanja-manja, meminta-
minta, mengadu-ngadu, berbual-bual, berdialog atau mencurahkan
segala rasa dan isi hati kita kepada Tuhan.

Sebenarnya perkara yang kita khusyukkan ialah apa sahaja yang
mengisi dan memenuhi hati dan jiwa kita. Ertinya apa sahaja yang
kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita
utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan,
yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita
khusyukkan. Kalau rumah, kereta atau perniagaanlah yang mengisi hati
atau jiwa kita hingga itulah yang diambil berat lebih dari segala-
galanya, maka itulah dia perkara yang kita khusyukkan. Sudah barang
tentu rumah, kereta atau perniagaan itulah yang akan kita bawa ke
dalam sembahyang.

Khusysuk bagi orang mukmin ialah jiwa tauhidnya yang sangat
mendalam dan rasa bertuhan serta rasa kehambaan dalam jiwanya begitu
kuat hingga ia memenuhi seluruh pelosok hati dan perasaannya. Rasa
ini tidak lekang dan dibawanya ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya
kepada Tuhan menguasai fikiran dan jiwanya. Dia khusyuk di luar
sembahyang dan dia lebih-lebih lagi khusyuk di dalam sembahyang.

Bagi orang yang belum mukmin dan ringan ketauhidannya atau bagi
orang yang hanya berfikiran tauhid dan belum berjiwa tauhid atau
bagi oaring yang `alimbillah (tahu Tuhan) yang belum `arifbillah
(betul-betul kenal Tuhan), ibadah mereka selalunya tidak ada kualiti
dan tidak sampai ke tahap khusyuk. Ibadah mereka belum ada kemanisan
dan mereka merasa berat untuk beribadah. Mereka beribadah dalam
terpaksa. Ini sungguh perit dan menyeksakan.

Sembahyang yang benar-benar khusyuk itu ilah sembahyang yang
sentiasa mempunyai rasa-rasa yang berubah dari satu rasa ke satu
rasa yang lain sesuai dengan rukun dan bacaan dalam sembahyang dari
mula takbiratul ihram hingga kepada salam. Untuk mencapai rasa-rasa
ini, ia mesti terlebih dahulu diusahakan dalam keadaan biasa di luar
sembahyang. Hanya di dalam sembahyang ia disubur, dihidup dan
ditajamkan lagi supaya kita dapat lebih berinteraksi, berhubung hati
dan berhubung rasa dengan Tuhan.

Semoga kita semua mendapat kekusyukan dalam mengerjakan ibadah....amin.

0 comments: