THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Rabu, 19 Ogos 2009

Zikrullah Amat Mudah, Berat Dibuat


Air mata termahal daripada dunia disebabkan cemas, takut atas keagungan-Nya

AIR mata yang menitis pada pagi hari raya mudah-mudahan menjadi tanda kesyukuran kepada Allah.

Namun pada kebiasaannya, kita menangis kerana sedih teringat diri merantau jauh daripada keluarga atau ingat kepada orang dikasihi yang sudah kembali ke rahmatullah.


Tidak mengapa, itu adalah fitrah manusia. Bagaimanapun juga, air mata yang termahal nilainya daripada dunia dan segala isinya adalah air mata yang jatuh demi mengingati Allah sama ada kerana tunduk dan syukur kepada-Nya atau disebabkan cemas dan takut atas keagungan-Nya.

Selepas berjuang pada Ramadan dengan amal ibadat puasa, tarawih, tahajud, tilawatul Quran dan sedekah jariah, kiranya sudah sampailah kita kepada kedudukan iman yang tinggi berkat amalan itu.

Persoalannya, bolehkah iman itu tetap tinggi seiring berjalannya waktu? Bukankah Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar yang bermaksud: Amalan yang dicintai Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit.

Agaknya tiada alasan untuk kita meninggalkan ibadat yang biasa dilakukan ketika Ramadan kerana kesibukan pada hari mendatang. Bukankah sedikit itu lebih baik daripada tiada sama sekali?

Jika mahu mencari alasan, tentu ramai yang petah lidahnya mencari-cari alasan tidak dapat melakukan ibadat. Tetapi dalam Islam, ibadat itu sungguh mudah dan tak mungkin seseorang itu boleh mencari alasan mengapa dia tak mahu melakukannya?

Suatu hari Abdullah bin Bushr yang sudah tua datang kepada Baginda SAW mengadukan kesusahannya melakukan ibadat kerana lemah tubuh badannya. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam amat banyak dan aku berasa sukar untuk melakukan semuanya. Maka tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang dapat aku amalkan secara berterusan."

Rasulullah SAW yang berhati lembut memandang dengan rasa kasihan kepada orang tua itu, Baginda tidak memarahinya atau mencelanya sebagai pemalas atau lemah iman. Bahkan Rasulullah SAW menghibur lelaki tua itu dengan sabdanya yang bermaksud: "Basahilah lidahmu selalu dengan menyebut nama Allah." (Riwayat al-Nasaie)

Jika hati dan lisan sentiasa ingatkan Allah, tentu rasa cinta akan lahir seterusnya menjadi perangsang untuk melakukan ibadat lain. Dengan menyebut kebesaran Allah, kita tidak akan mampu melakukan kejahatan selama nama-Nya bersemayam di hati kita.

Sesungguhnya zikrullah menjadi kekuatan seorang hamba supaya tetap istiqamah di atas jalan ibadat. Walaupun di negara kita pada kebiasaannya sebulan kita berhari raya, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.

Kita sedar kelemahan diri yang sentiasa terbelenggu oleh tipu helah kesenangan duniawi tetapi bukan bermakna kita menyerah kalah. Jika terlalai, maka cepat-cepatlah beringat, jika tersesat mulakan langkah baru.

Bukankah pintu syurga itu ada lapan pintu kesemuanya? Takkan sebuah pintu pun tidak dapat dibuka pada hari ini? Kita tidak akan mampu melakukan semua kebaikan sekali gus setiap hari. Hanya orang yang sedarjat dengan Abu Bakar al-Siddiq saja yang boleh melakukannya.

Sebagaimana sabda Baginda SAW yang maksudnya: "Syurga mempunyai lapan pintu. Orang yang mendirikan sembahyang akan dipanggil daripada pintu sembahyang. Yang berpuasa akan dipanggil dari pintu puasa, yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad dan yang bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah." Abu Bakar bertanya: "Adakah wujud orang yang dipanggil daripada semua pintu itu? Baginda SAW bersabda: "Ya, aku harap engkau termasuk golongan berkenaan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Insan mana yang tidak pernah tenggelam dan karam oleh hawa nafsunya. Keinginan beribadah dan memuaskan hawa nafsu sentiasa berperang dalam diri manusia, hanya Allah yang mampu menyelamatkan kita daripada kesesatan.

Doa setiap hujung sembahyang yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal eloklah diamalkan: "Ya Allah tolonglah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku."

Siapakah yang menggerakkan hati ini untuk bersegera ke masjid ketika azan dilaungkan? Siapakah yang membangunkan kita pada tengah malam dan menggembirakan hati kita bermunajat kepada-Nya? Siapakah yang menitiskan rasa kasih kepada al-Quran dan rindu memperhatikan ayat-Nya yang agung? Siapakah yang menghiris perasaan kita melihat kesusahan orang lain sehingga tangan ini menghulurkan pertolongan?

Siapakah yang menitiskan air mata kita pada hari raya kerana bersyukur dan berjaya membuktikan selama sebulan di medan perjuangan bahawa kita mencintai-Nya? Dialah Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia Yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar, memerhatikan setiap gerak geri dan lintasan di hati kita.

Sesungguhnya pintu syurga sentiasa terbuka untuk kita, bukan hanya pada Ramadan. Ia akan sentiasa terbuka untuk orang yang beribadah. Tidak mahukah kita mengikuti jejak Muaz bin Jabal yang sangat obses kepada syurga Allah?

Suatu hari beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang dapat mendekatkan aku kepada syurga dan menjauhkan aku daripada neraka. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Muaz, engkau sudah meminta sesuatu yang terlalu istimewa tetapi ia mudah dilakukan oleh orang yang diberi kemudahan oleh Allah. Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukannya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah. Kemudian Rasulullah SAW menyambung sabdanya: Mahukah engkau, aku tunjukkan pokok, batang dan ranting ibadat? Aku menjawab: "Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Pokok ibadat adalah Islam, tiangnya sembahyang sedang rantingnya adalah jihad di jalan Allah."

Lalu Baginda SAW bersabda lagi: "Mahukah engkau, aku tunjukkan pintu kebaikan? Jawab Muaz: Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Puasa, sedekah dan sembahyang malam. Puasa adalah perisai, sedekah adalah penghapus dosa sebagaimana air memadamkan api, (dan bagi sembahyang malam) Baginda membaca ayat yang bermaksud: Mereka merenggangkan lambung mereka daripada tempat tidur seraya berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut dan harap dan mereka mendermakan sebahagian yang Kami anugerahkan."

Akhir sekali Baginda SAW bersabda kepada Muaz: "Mahukah engkau aku tunjukkan satu amalan kepadamu yang dapat meliputi semua itu? Jawab Muaz; Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jagalah lidahmu kerana sesungguhnya tiadalah manusia dicampakkan ke dalam neraka melainkan kerana kejahatan lidah mereka." (Hadis sahih riwayat al-Tirmizi)

Hanya Allah saja yang mampu menolong dan menyelamatkan kita daripada kealpaan diri sendiri. Hanya Allah yang menunjukkan jalan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki. Adakah kita termasuk di dalamnya?

0 comments: