THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Rabu, 19 Ogos 2009

MENDIDIK ANAK UNTUK SIAPA


Bagi kebanyakan manusia, termasuk orang Melayu,anak-anak yang masih kecil dianggap sebagai cahaya mata, belahan hati, penawar jiwa, intan payung dan macam-macam lagi. Sangat disayang dan dimanjakan.Apabila besar sikit, disediakan anak-anak itu untuk menghadapi tuntutan hidup. Diberi pelajaran dan kemahiran setinggi-tingginya supaya apabila besar nanti dapat kerja, dapat jawatan dan dapat gaji lumayan. Mereka rasakan itulah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Mereka mahukan anak-anak mereka berjaya dan senang dalam hidup.

Kadang-kadang terselit juga di hati ibu ayah, kalau-kalau anak-anak sudah besar dan berjaya, maka akan senanglah hidup ibu ayah. Anak- anak akan membantu dan membela mereka. Anak-anaklah menjadi tempat mereka bergantung apabila tua kelak. Anak-anaklah yang menjamin masa depan mereka. Mereka bersandar kepada anak-anak mereka untuk hari tua.

Memang anak-anak patut membela dan berkhidmat kepada ibu ayah setelah mereka tua. Ini tuntutan fitrah. Ini juga tuntutan agama. Tuhan pun memang hendak begitu. Tetapi patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk tujuan ini semata-mata.Patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk kepentingan diri mereka sendiri? Patutkah anak-anak itu dianggap sebagai satu pelaburan untuk kebaikan dan kesenangan masa depan ibu ayah? Kalau begitu, anak-anak tidak ubah sebagai haiwan ternakan. Dibela, diternak supaya akan dapat merasakan untung dan hasilnya satu hari nanti. Kalau begitu mendidik anak tak ubah seperti satu usaha komersial atau satu penanaman modal atau satu kegiatan ekonomi.

Konsep ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Ia tersimpang dari kehendak agama dan kehendak Tuhan. Anak-anak itu adalah amanah Tuhan. Mereka perlu dididik untuk Tuhan.Mereka perlu dididik untuk mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan.Mereka perlu dididik supaya menjadi hamba Tuhan selepas itu menjadi khalifah Tuhan dimuka bumi. Mereka perlu dididik untuk mengabdi diri kepada Tuhan dan menjadikan cinta agung mereka. Mereka perlu dididik supaya menjadi orang yang beriman dan bertaqwa yang hidup mati mereka hanyalah untuk Tuhan. Anak-anak itu anugerah Tuhan. Oleh itu, kenalah didik mereka untuk Tuhan.

Kalau ini dilakukan, barulah anak-anak itu akan menjadi orang-orang soleh yang berakhlak dan berjasa. Orang yang beriman dan bertaqwa sudah tentu akan berkhidmat kepada Tuhannya dan sesama manusia, lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua ibu dan ayah mereka. Soal anak-anak menjaga dan membela ibu ayah mereka akan terjadi dengan sendiri setelah anak-anak itu menjadi hamba-hamba yang beriman dan bertaqwa.

Apabila anak-anak dididik hanya untuk mengejar dunia dan tidak untuk mengenal, mencintai dan takut dengan Tuhan, maka dunialah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Keinsanan mereka tidak akan terbina, nafsu mereka akan menjadi rakus dan segala sifat-sifat mazmumah yang keji seperti tamak, haloba, hasad, dengki, bakhil, pemarah dan lain- lain yang bersarang dihati mereka.

Mereka tidak akan mempedulikan halal atau haram, hak atau batil, benar atau salah, adil atau zalim, manusia ataupun Tuhan. Kalau Tuhan pun mereka tidak pedulikan, apakah harapan mereka memperdulikan ibu ayah mereka, jauh sekali untuk membela dan berkhidmat kepada mereka. Ibu ayah akan menjadi penghalang untuk
mereka mengejar dunia mereka. Mereka akhirnya derhaka kepada ibu dan ayah.
Di Akhirat nanti anak-anak ini akan menjadi orang yang muflis. Mereka akan menentang dan menjadi seteru kepada ibu ayah mereka.Mereka akan menuntut hak yang tidak diberikan kepada mereka. Mereka akan menyalahkan ibu ayah mereka kerana tidak mendidik mereka untuk Tuhan. Ibu dan ayah yang tidak mendidik anak-anak mereka untuk Tuhan pasti akan rugi di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat. Di
Akhirat nanti anak yang mereka sayang itu akan bertukar menjadi musuh.

Kalau anak-anak dididik untuk Tuhan hingga mereka menjadi orang- orang yang beriman dan bertaqwa mereka akan menjadi aset kepada kedua ibu ayah mereka. Mereka akan menjadi aset di dunia dan aset di Akhirat. Di dunia mereka akan berkhidmat dan membela kedua ibu ayah mereka. Apabila mati kedua ibu dan ayah, anak seperti ini akan mendoakan mereka. Doa mereka tidak terhijab. Ibu dan ayah juga kan terus mendapat pahala yang mengalir ke dalam kubur hasil dari amalan soleh yang dibuat oleh anak mereka di dunia berkat dididkan dan ilmu yang telah mereka curahkan kepada anak mereka itu.

Hadis ada menyebut:
" Bila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah yang dibuatnya, ilmu yang bermenafaat yang diajarnya dan anaknya yang soleh."

Kita harus ingat bahawa anak kita itu adalah hamba Tuhan. Tuhan lebih berhak ke atasnya daripada kita. Hanya Tuhan mengamanahkan dia kepada kita. Oleh itu, kita perlu didik dia untuk Tuhan, bukan untuk kita.

Anak kita hanya anak kita sementara di dunia. Di Akhirat, dia bukan anak kita lagi. Di Akhirat, anak tak peduli ayah, anak tak peduli ibu. Ibu ayah juga tak pedulikan anak. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Setakat mana kita mampu mendidik anak-anak kita untuk Tuhan, setakat itulah manfaatnya untuk diri kita.

0 comments: